Cintamu Hadir Disaat Aku Terluka

Cintamu Hadir Disaat Aku Terluka
JAM baru menunjukkan pukul 8.30 pagi. Aku masih sibuk melayan kerenah pelanggan yang datang tanpa henti sejak tadi. Tidak cukup tangan aku dibuatnya. Macam-macam perangai ada. Mujurlah aku ini jenis orang yang cekap buat kerja walaupun badan aku gemuk. Aku tidak menafikan itu semua. Malah, kadang-kadang ada pelanggan yang menafikan kecekapan aku semasa bekerja.
Mereka sering menganggap aku ini lambat melaksanakan tugas yang diberikan. Namun, setelah melihat sendiri kepantasan aku ketika bekerja, baru mereka senyap tanpa berani mengulas apa-apa. Ha, baru tahu siapa diri Yasmin sebenarnya. Ini Yasminlah…siapa yang tak kenal aku?
Beberapa minit kemudian, suasana kembali sunyi seperti sediakala. Aku menarik nafas lega sedikit. Dapatlah aku berehat sekejap untuk melepaskan lelah. Tidak aku nafikan, tubuh aku agak letih sejak kebelakangan ini. Mungkin ini semua ada kaitan dengan pertambahan berat badanku yang mendadak naik secara tiba-tiba. Biasalah orang gemuk macam aku ini. Buat kerjanya sedikit, tapi penatnya mengalahkan orang memikul kayu balak. Padahal, bukan teruk sangat pun kerja yang aku buat.
Sedang leka berkhayal seorang diri, tiba-tiba aku dikejutkan dengan kehadiran dua pasangan kekasih yang asyik berpimpin tangan sebelum duduk di sebuah meja berhampiran dengan tempat aku berehat. Tingkah mereka yang kelihatan agak mesra itu amat menjijikkan aku.
Menyampah pula apabila menonton aksi kurang sopan si gadis yang tergedik-gedik macam betina miang. Mahu tidak mahu, aku terpaksa melayan mereka berdua. Sudah menjadi tugasku melayan setiap pelanggan yang berkunjung ke gerai ini.


“Maaf, Encik. Nak minum apa?” soalku lembut.
Aku memandang tepat wajah mereka berdua sambil memegang pen serta sehelai kertas untuk mengambil pesanan. Mereka hanya berdiam diri tanpa bersuara. Sesekali, gadis itu melihat tubuhku berulang-ulang kali dari atas sehingga ke bawah. Tingkahnya seperti hairan sahaja melihat potongan tubuhku yang gemuk dan agak hodoh pada pandangan matanya.
“Beri I Nescafe Ais satu,” pintanya dengan suara manja seperti dibuat-buat. Menyampah betul aku mendengarnya. Meluat. Kemudian dia memandang pula muka teman lelakinya. “You nak apa pulak, B?”
“Emmm…I nak milo panas. Kalau boleh, buat tu biar sedap sikit, ya. I takut nanti, tak ada selera pulak I nak minum.”
Berlagak betul mamat poyo itu ketika membuat pesanan. Wajahnya kelihatan serius sahaja memandangku. Macamlah hensem sangat. Eleh… bukannya susah sangat pun buat milo panas itu. Kacang saja bagi aku. Dah nama pun minuman kegemaran aku, mestilah aku pandai membuatnya.
“Okey…itu saja ke? Makan tak nak?” Aku bertanya lagi.
Aku lihat mereka berdua sedang berbisik-bisik antara satu sama lain. Entah apa yang dibualkan agaknya. Macam penting sahaja aku tengok. Biarlah mereka nak buat apa pun. Bukan ada kena mengena dengan aku. Mungkin mereka sedang berbincang nak makan apa. Aku mula membuat andaian sendiri.
“I dengar kat sini, nasi lemaknya sedap. Teringin juga I nak try.”
“Memang betul, cik. Kalau awak nak cuba, pergilah ambil sendiri. Biasanya orang yang datang sarapan kat sini, mereka akan ambil dulu sebelum duduk. Dah nama pun buffet,” ucapku perlahan.
Aku sengaja berbuat begitu untuk melihat sejauh mana reaksi mereka berdua. Apa yang aku katakan itu sememangnya betul. Konsep gerai ini adalah buffet. Jadi, mahu tidak mahu, mereka perlu meringankan kaki untuk mengambil sendiri sarapan pagi yang mereka mahu.
“Hai, macam tu sekali ke you layan customer? Tak boleh ke kalau you yang ambilkan untuk kami berdua.”
Kali ini suara lelaki yang berada di hadapanku itu sudah berubah nada. Barangkali dia rasa tercabar apabila aku menyindirnya.
Ala, bukannya susah sangat nak ambil sarapan. Dekat saja dengan meja yang mereka sedang duduk sekarang. Cuma beberapa langkah, sudah sampai ke ruang hadapan yang menempatkan juadah sarapan pagi.
“Boleh juga. Nanti dulu, ya. Excuse me…”
Akhirnya aku berlalu dari situ sebelum menuju ke ruang dapur. Malas nak bertegang urat pagi-pagi macam ini. Tak pasal-pasal nanti, jadi benda lain pulak. Sebelum keadaan menjadi lebih parah, baik aku buat kerja dahulu. Sudah menjadi kebiasaan, aku akan membuat minuman secepat yang boleh. Takut juga sekiranya mereka merungut kerana terpaksa menunggu agak lama.
Selepas siap membuat minuman, aku mengambil dulang kecil yang berada di situ lalu menuju ke ruang hadapan. Aku tak lupa juga mengambil dua pinggan nasi lemak seperti yang dipesan oleh pasangan kekasih itu tadi. Apabila tiba di meja mereka, aku pantas meletakkan pesanan itu dengan hati-hati.
Entah di mana silapnya, tidak semena-mena kakiku tersadung bucu meja sehingga aku hilang kawalan. Akhirnya, cawan yang berisi milo panas itu tertumpah pada baju si jejaka. Apa lagi, mengamuk sakanlah singa jantan itu apabila bajunya basah lencun akibat kecuaian aku yang tidak disengajakan itu. Aku kalut sebentar melihat insiden tersebut tanpa boleh berbuat apa-apa. Kejadian itu berlaku terlalu pantas.
“Opss..sori, sori. Saya tak sengaja tadi,” ucapku jujur.
Moga-moga, lelaki kacak itu sudi memaafkan kesalahan aku. Sememangnya aku tidak berniat untuk mengotorkan bajunya. Sudahlah baju yang dia pakai berwarna putih. Aku tengok, baju dia pun dah berubah menjadi warna milo. Alamak, mampus aku kali ini. Tak pasal-pasal, aku kena sembur dengan dia selepas ini. Dadaku mulai berdebar tidak keruan memikirkan kemungkinan yang akan berlaku padaku sebentar lagi.
“Hei, kau ni dah buta ke? Mata kau letak kat mana, hah? Habis baju aku basah tau. Kau ni tahu buat kerja ke tak,” marahnya lagi.
Aku terpaksa memekakkan telinga menahan kemarahannya yang masih belum reda itu. Dalam situasi tegang begini, aku perlu banyak bersabar kerana semua ini berlaku atas kecuaian aku sendiri. Aku lihat, girlfriend dia pun berang apabila menyedari baju kekasihnya basah akibat kesilapan aku.
“Sudahlah, B. Baik kita balik aje. I tak ada mood nak makan kat tempat low class macam ni. Lebih-lebih lagi apabila tengok muka budak perempuan gemuk tu. Rasa macam nak pijak aje kepala dia,” ujar gadis itu selamba tanpa mempedulikan perasaan aku ketika ini.
“Mana boleh macam ni. Senang-senang aje I nak maafkan kesalahan budak gemuk tu. Sekurang-kurangnya, I nak balas dendam kat dia. Biar dia tahu diri sikit.”
Marah benar lelaki itu pada diriku. Walaupun sudah berkali-kali aku meminta maaf, namun tidak sedikit pun melenturkan hatinya yang keras bagai batu konkrit itu. Entah apa rencana jahat yang ingin dia buat pada aku. Aku masih tercegat berdiri memandang wajahnya tanpa berkelip. Aku benar-benar menyesal atas kelalaianku tadi.
“You nak buat apa, B?” soal gadis itu lagi, agak pelik melihat tingkah kekasihnya itu.
“You tengok ajelah nanti,” ucapnya kuat sebelum bangkit dari tempat duduknya. Kemudian, dia mengambil cawan yang berisi Nescafe Ais lalu menyimbahkan ke tubuhku tanpa sempat aku mengelak. Akibatnya, habis baju aku basah. Aku lihat, dia sudah ketawa berdekah-dekah seperti baru meraikan satu kemenangan yang besar. Dia ingat, aku ini badut ke sampai tergelak-gelak macam orang gila.
Selepas berpuas hati mengenakan aku, mereka berdua segera berlalu pergi tanpa membuang banyak masa. Aku pula masih terkebil-kebil melihat pemergian mereka dengan perasaan berbuku di dada. Entah kenapa, aku seakan cemburu apabila melihat mereka berpimpin tangan menuju ke kereta yang diparkir tidak jauh dari situ. Kereta Honda Jazz milik lelaki itu akhirnya meluncur laju meninggalkan aku seorang diri di sini.
***********
PROSES pendaftaran pada pagi itu berjalan lancar seperti biasa. Walaupun terpaksa beratur panjang semasa masuk ke dalam Dewan Pelajar, aku dan Fuad tidak pernah mengeluh. Semua perkara itu sudah biasa bagi aku. Ketika kami berdua asyik berbual, tiba-tiba terdengar suara halus berbisik di belakangku. Suara itu seperti aku pernah dengar sahaja. Aku cuba memasang telinga, mencuri dengar setiap perbualan mereka berdua. Entah-entah, dia orang mengumpat pasal aku. Mesti mereka sudah cam muka aku ketika terserempak di luar tadi.
“I rasa, pompuan gemuk ni yang kita jumpa masa makan kat gerai makan kelmarin. You dah lupa ke B?” soal gadis itu perlahan, namun cukup jelas di telingaku.
“Yang mana satu budaknya. I tak berapa ingatlah. Lagipun, buat apa I nak ingat badak air macam dia tu. Buat sakit hati aje,” ucap lelaki itu pula. Terasa berbahang api kemarahan aku saat itu. Tidak menyangka, sampai ke hari ini dia masih mengingati kejadian yang tidak disengajakan itu walaupun sudah tiga hari berlalu.
“Kalau betul dia budak perempuan gemuk tu, nampaknya senanglah kita kerjakan dia cukup-cukup nanti. You kan dah cakap kat I, you nak balas dendam kat dia. Sekurang-kurangnya, dendam you akan terbalas juga nanti. Tak sangkakan, dia pun belajar kat sini.”
“Betul juga cakap you, honey. You tak payah risau. Pasal tu, biar I yang uruskan sendiri. You cuma tengok dan lihat sahaja. Orang macam dia tu, ada duit ke nak bayar yuran pendaftaran. Setakat kerja kat gerai makan, manalah cukup nak tampung kos pengajian kat sini. Esok-esok, tak sampai sebulan belajar dah berhenti.”
Sindiran tajam dari lelaki itu kali ini benar-benar menggores perasaan aku. Terasa kerdil diri ini apabila dikatakan begitu. Seolah-olah aku tidak layak belajar di kolej masakan ini. Mentang-mentang mereka anak orang kaya, suka hati sahaja nak mengutuk orang miskin macam aku. Ah, pedulilah dengan semua itu.
Biarlah apa pun yang mereka nak kata. Selagi aku boleh bersabar, aku akan bersabar. Mungkin apa yang berlaku hari ini merupakan ujian pertama aku di sini. Aku harus cekalkan semangat dan tidak boleh menyerah kalah sebelum waktunya.
Apa yang merungsingkan fikiran aku saat ini, apabila mengingati semula kata-kata gadis itu sebentar tadi. Ucapannya seperti mengandungi maksud tidak baik kepada aku. Dia ada mengatakan perihal dendam yang tidak aku ketahui hujung pangkalnya. Dendam apa lagi yang belum terungkai sejak insiden tempoh hari? Adakah mereka berdua telah membuat satu rancangan tidak baik kepadaku? Entah apa helah mereka kali ini, tidak aku ketahui.
Nampaknya, perjalanan aku di kolej masakan ini sudah pasti ada rintangan yang bakal mendatang di kemudian hari. Sungguh aku tidak menyangka, dia turut belajar di kolej ini. Bagaimanalah dia boleh mengambil jurusan yang sama denganku. Tambah parah, apabila dia memilih kolej ini sebagai tempat untuk belajar. Apa lagi yang boleh aku lakukan. Ini semua ketentuan dari-Nya.
Beberapa minit kemudian, Fuad yang berada di hadapanku sudah menuju ke kaunter pendaftaran sambil membawa beberapa helai dokumen yang diperlukan. Tidak sedar begitu cepat masa berlalu. Aku lihat, ada empat buah meja diletakkan di situ. Semua meja itu dipisahkan antara satu dengan yang lain. Aku difahamkan, pelajar-pelajar perlu melalui empat kaunter terlebih dahulu sebelum berada di meja terakhir untuk membuat pembayaran.
Saat ini, aku baru berada di meja yang pertama. Ada kira-kira tiga kaunter lagi perlu aku lalui. Menunggu satu-satu kaunter bagaikan bertahun lamanya. Ini berlaku kerana, jumlah pelajar yang hadir mendaftar pada pagi ini agak ramai sehingga sesak jadinya. Aku tidak sabar untuk melalui semua ini.
Biasanya, bagi seorang pelajar akan mengambil masa sekurang-kurangnya sepuluh minit bagi setiap kaunter yang dilalui. Bayangkan kalau ada 80 orang pelajar yang datang mendaftar. Aku rasa, sampai tengah hari baru selesai. Mujurlah aku dan Fuad datang awal pagi tadi. Kalau tidak, terpaksa menunggu berjam-jam lamanya.
Aku membelek-belek setiap dokumen yang berada di tangan. Dokumen-dokumen itu aku susun satu per satu supaya mudah ketika melalui setiap kaunter pendaftaran. Tidak perlu nak tergopoh-gopoh apabila diminta nanti. Duit yuran sebanyak Rm 650 juga sudah aku masukkan ke dalam sebuah sampul surat di bahagian atas.
Inilah duit hasil titik peluhku sendiri selama ini. Moga-moga, pendaftaran pagi ini akan membawaku jauh merentasi sempadan ilmu yang tak terjangkau dek fikiran. Aku sematkan dalam hati ini untuk belajar bersungguh-sungguh sebaik sahaja menjejakkan kaki di bumi bertuah ini.
Begitulah impian murni aku sejak dulu lagi. Aku malas mengusutkan fikiran dengan benda-benda remeh yang akan menganggu perjalanan aku di sini. Terutama sekali, lelaki sombong yang turut belajar sama tempat denganku itu. Biarlah dia dan kekasih hatinya itu bersuka ria menghabiskan hari-hari indah mereka di tempat ini.
Apa jua yang bakal dilakukan kepada aku nanti, tidak aku hiraukan. Buatlah apa sahaja yang mereka suka selagi terdaya. Aku tetap aku. Tidak akan ada sesiapa yang boleh mengubah nasibku, melainkan aku sendiri. Prinsip itu sentiasa aku bawa walau ke mana sahaja aku pergi. Kalau mereka ada rancangan untuk mengenakan aku, aku pun boleh buat lebih dahsyat dari itu. Aku akan pastikan lelaki itu jadi milikku satu masa nanti. Biar dia melutut di hadapan aku. Aku tak peduli walau dengan apa cara sekali pun.
***************
PADA keesokan hari, aku bangun awal seperti biasa. Rasa tidak sabar pula untuk menghadiri Program Minggu Wawasan Siswa yang akan diadakan pada pagi ini. Banyak perkara yang menanti aku di sana. Terutama sekali apabila mengingati janji Syima semalam. Entah apa rancangan mengejut yang akan dibuat oleh gadis itu. Sudah puas aku memikirkannya sejak malam tadi. Namun, usaha aku itu hanya sia-sia. Aku masih tidak dapat menemui jawapannya sehingga ke saat ini.
Selepas pulang petang semalam, aku sempat bertukar-tukar nombor telefon dengan Syima. Bagi aku, mudahlah untuk aku menghubunginya nanti jika ada sebarang masalah di kemudian hari. Aku sudah menganggap Syima seperti kawan baik aku sendiri selain Fuad.
Hanya mereka berdua sahaja yang sudi menjadi kawan aku. Penerimaan mereka itu, sedikit sebanyak telah menaikkan semangat aku untuk belajar bersungguh-sungguh di kolej masakan ini. Biar apa juga rintangan yang bakal mendatang, aku tidak akan menyerah kalah.
Mengikut janji Syima semalam, kami berdua perlu sampai awal sebelum Program Minggu Wawasan Siswa itu bermula. Menurutnya, ruang masa yang ada itu boleh juga digunakan sebagai waktu untuk menjelaskan rancangan bernasnya kepada aku. Nampak gayanya, aku terpaksa bertolak awal ke situ supaya tidak buru-buru waktu. Awal-awal lagi, aku sudah maklumkan hal ini kepada Fuad.
Bukan niat untuk menyingkirkan dirinya dari hidup aku, namun aku ada alasan sendiri yang tidak boleh aku kongsikan dengannya. Aku harap, Fuad mengerti masalah aku sekarang. Apabila keadaan sudah kembali stabil, kami berdua akan pergi kuliah sama-sama seperti biasa. Hanya untuk hari ini sahaja, aku terpaksa berangkat sendirian tanpanya di sisi.
Mujurlah Fuad memahami keadaan aku ketika ini. Aku tahu, Fuad merupakan kawan paling baik yang pernah aku kenali. Tidak ada sesiapa pun di dunia ini boleh menggantikan tempatnya. Sampai bila-bila, namanya akan terus terpahat di hati ini.
***************
SEBAIK tiba di kolej masakan itu, aku pantas mendapatkan Syima yang sedang tercegat berdiri menanti kedatanganku. Tidak ramai pelajar yang ada ketika itu. Hanya beberapa orang sahaja. “Dah lama kau sampai, Syima?” soalku spontan apabila tiba di hadapannya. “Maaflah, aku terlewat sikit,” ucapku lagi meminta maaf darinya.
“Taklah. Aku pun baru sampai ni. Sebab tu aku suruh kau datang awal. Time-time macam ni, tak ada orang sangat. Senanglah aku nak bagitahu tentang rancangan bernas aku tu. Jom kita duduk kat bawah pokok tu dulu. Selesa sikit nak berbual.” Syima segera menarik tanganku lalu menuju ke tempat yang dimaksudkannya. Aku hanya mengikut langkahnya tanpa membantah.
“Syarat apa yang kau nak bagitahu aku semalam? Penting sangat ke?” Aku pantas bertanya kerana tidak sabar mendengar ucapannya itu. Berdebar juga untuk mengetahui rancangan gila Syima.
“Macam ni, Min. Aku ada cadangan baik untuk kau. Ini semua tentang Syed Aidil. Kau boleh berkawan rapat dengan dia, tapi ada satu syarat…” Syima mematikan ayatnya di situ. Dia memang sengaja membuatkan aku tertanya-tanya macam orang gila.
“Apa dia syaratnya?” ajuku seperti biasa. Dia ini dari semalam lagi, asyik cakap pasal syarat saja. Suka sangat membuatkan aku cemas tidak menentu. Kalau nak cakap, tak payahlah sekat-sekat. Buat sakit hati aku saja.
“Kau kena menyamar,” balasnya pendek.
“Menyamar? Nak menyamar jadi siapa pula?” Aku mula mengaru-garu kepala tanda pelik mendengar cadangannya itu. Syima…Syima. Ada-ada saja kau ni, kan.
“Kau dengar dulu rancangan aku ni. Aku dah fikirkan semua hal ni sejak malam tadi lagi. Sepatutnya kau berterima kasih kat aku tau. Susah payah aku berusaha untuk kau. Langsung kau tak hargai pengorbanan aku.” Suara Syima kedengaran sayu di pendengaranku. Dia terasa hati apabila melihat aku tidak serius menerima cadangannya.
“Sorilah, Syima. Aku setuju dengan cadangan kau tu. Cuma, pasal nak menyamar ni, aku kurang setujulah. Kenapa pula aku kena menyamar? Tak boleh ke kalau aku jadi diri aku sendiri. Tak bestlah menyamar jadi orang lain.”
Aku kurang setuju mendengar cadangan Syima itu. Mengapa pula aku kena menyamar sedangkan aku beria-ia benar ingin berkenalan dengan Syed Aidil. Kalau boleh, aku mahu lelaki sombong itu ikhlas berkawan denganku bukan disebabkan orang lain.
“Ini untuk kebaikan kau juga. Peluang keemasan ni datang sekali saja tau. Bukan senang nak kenal dengan dia. Kalau kau tak menyamar, mesti Syed Aidil tak ingin berkenalan dengan kau. Dia tu lelaki cerewet. Mana dia suka nak habiskan masa berkawan dengan orang macam kita. Aku buat macam ni, sebab nak bagi dia sedar diri sikit. Baru dia tahu, langit tu tinggi ataupun rendah. Aku yakin, kau boleh sedarkan dia nanti.”
Cadangan Syima itu aku halusi sebaik mungkin. Kata-katanya berupa nasihat yang aku anggap ada kebaikannya sendiri. Betul juga kata Syima. Perangai Syed Aidil yang sombong itu boleh diubah kalau kena dengan caranya. Namun, aku khuatir kalau rahsia ini pecah di kemudian hari. Mesti dia akan menyalahkan aku kerana tidak berterus-terang dari awal. Aku tidak dapat menjangkakan, bagaimana perasaan Syed Aidil setelah mengetahui siapa diri aku yang sebenarnya nanti.
“Tapi, bagaimana caranya untuk aku kenal dengan dia. Kau nak aku jumpa dia face to face ke? Kalau macam tu cadangan kau, aku tak mahulah.”
Aku menolak mentah-mentah jika Syima menyuruhku berjumpa dengan Syed Aidil secara terang-terangan begitu. Di mana aku nak letak muka ini kalau dia menolak pelawaan aku untuk berkawan dengannya. Mesti dia akan anggap aku perempuan tak tahu malu. Ish, tak naklah aku.
“Bukan macam tu. Itu dah kerja gila namanya. Kita kena buat secara perlahan-lahan. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Kau fahamkan maksud aku?” soal Syima sambil memandang tepat mataku. Aku cuba mentafsir segala maksudnya itu. Dalam benar mesej yang ingin dia sampaikan kepada aku.
“Maksud kau?” Aku bertanya lagi macam orang bodoh.
“Ala, Kau ni lembablah. Susah sangat ke nak faham maksud aku. Maksud aku, kau kena menyamar jadi orang lain. Aku ada nombor telefon dia. Pandai-pandailah kau ayat dia. Yang penting, jangan sampai terkantoi. Sampai masanya nanti, baru kau bagitahu siapa diri kau yang sebenar.”
Aku berfikir dulu sebelum memberikan sebarang kata putus. Akhirnya aku bersetuju dengan cadangan Syima itu. Aku pun pernah berjanji kelmarin untuk mengenakan Syed Aidil. Kali ini, impian aku akan berhasil atas bantuan Syima. Aku perlu bertindak cepat sebelum mereka berdua berbuat sesuatu kepada aku. Kata-kata gadis gedik yang menjadi kekasih Syed
Aidil semalam seakan bergema-gema di cuping telinga aku. Aku bertekad untuk mengenakan mereka berdua supaya wujud salah faham dalam perhubungan mereka nanti.
“Emm..boleh juga tu. Berapa nombor dia?”
“Kejap.” Syima pantas menyeluk poket seluar sebelum mengeluarkan telefon bimbitnya. Kemudian, dia mencari nombor telefon Syed Aidil dengan teliti. Tidak berapa lama selepas itu, dia kembali bersuara.
“Kau ambil nombor dia ni. 017-7485668.”
Aku segera menyalin nombor itu ke dalam telefonku. Setelah meletakkan namanya di situ, aku memandang semula wajah Syima dengan perasaan girang yang tidak terucap di bibir. Aku sungguh gembira kerana berpeluang mengenali jejaka pujaan aku itu. Walaupun terpaksa menyamar sebagai orang lain, aku tidak ambil peduli. Apa yang penting, aku dapat mendengar suaranya jika aku menghubunginya nanti. Mesti macho sahaja suaranya ketika memulakan bicara.
“Aku nak menyamar sebagai siapa ni?” soalku kepada Syima.
“Pandai-pandailah kau. Tapi, jangan sampai pecah rahsia. Maklumat peribadi kau pun jangan bagitahu dia. Sebenarnya, aku ada agenda masa panjang untuk kau. Buat masa ni, biar kau kenal dia dulu. Tentang agenda masa panjang tu, aku akan bagitahu apabila kau dah berjaya rebut hati dia. Aku tak boleh ceritakan sekarang. Nanti tak surprise pula.”
Penjelasan Syima itu membuatkan aku berfikir sepuluh kali. Banyak betul rancangan dia untuk aku. Entah apa agenda masa panjang itu, ya. Tak sabar pula menanti saat-saat indah itu.
“Aku rasa, nak menyamar sebagai Mawar Putihlah. Okey tak nama tu? Baru nampak macam perempuan melayu terakhir. Hehee..” Aku tergelak-gelak apabila mendengar cadangan nama yang hadir secara tiba-tiba itu.
“Sedap juga nama tu. Mesti Syed Aidil akan bayangkan kau seorang gadis yang cantik dan jelita. Kau kena buat dia jatuh hati dengan kau. Jangan putus asa untuk mencuba.”
Syima turut bersetuju dengan pendapat aku. Kami berdua asyik berbual sehingga tidak sedar jam sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi. Aku lihat, sudah ramai pelajar tiba untuk mengikuti Program Minggu Wawasan Siswa.
“Jom, Min. Abang Fasilator tu dah suruh kita masuk. Kalau lambat nanti, tak dapat duduk pula. Cepatlah!” ajak Syima tidak sabar. Akhirnya, aku masuk ke dalam Dewan Pelajar apabila Fasilator yang bertugas mengarahkan kami semua berkumpul di dalam dewan.
***************
PROGRAM Minggu Wawasan Siswa pada pagi itu berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Terdapat lebih kurang 85 orang pelajar hadir mengikuti program ini. Kebanyakkannya pelajar perempuan yang memonopoli jumlah itu. Manakala bagi pelajar lelaki pula hanya ada 30 peratus sahaja.
Dari jauh, aku nampak Fuad sudah duduk bersama pelajar-pelajar lelaki yang lain. Kasihan pula aku tengok dia. Nasib baik dia agak peramah orangnya. Mudahlah bagi dia mencari kawan baru di kolej masakan ini.
Di sebalik keriuhan pelajar yang asyik berbual sesama sendiri, aku sibuk mencari kelibat Syed Aidil di situ. Aku yakin, dia sudah tiba bersama pelajar-pelajar yang lain. Kat mana pula dia duduk ni? Takkanlah tak sampai lagi. Ah, biarlah dia. Mesti dia ada di situ, cuma aku saja yang tidak perasan kehadirannya.
Aku dan Syima sempat juga berkenal-kenalan dengan kawan perempuan di sini. Ada juga di antara mereka ramah-ramah belaka. Hanya ada segelintir sahaja pelajar yang kelihatan sombong terutama gadis gedik, kekasih Syed Aidil itu.
Aku menyampah melihat tingkahnya yang perasan cantik itu. Mentang-mentanglah muka macam model, tak payahlah nak tunjuk lagak. Meluat benar aku dengan sikapnya. Walaupun dia bertudung, namun aku dapat cam lagi wajahnya. Kalau dulu, aku tengok dia tidak bertudung semasa datang ke tempat aku bekerja tempoh hari. Mungkin kerana kolej ini mewajibkan pelajar perempuan memakai tudung, sebab itu dia terpaksa memakai tudung. Kalau tidak, aku yakin dia sendiri pun tak mahu bertudung.
“Perhatian semua!” Lamunanku terhenti seketika apabila terdengar suara Fasilator sedang berucap di hadapan. Aku memberikan perhatian penuh kepada ucapannya itu supaya tidak salah menerima arahan selanjutnya.
“Sebentar sahaja lagi akan diadakan program suaikenal di antara kamu semua. Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama pelajar tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan. Cuma ada batas-batas yang perlu dijaga antara kalian semua. Sebagai permulaan, saya selaku ketua Fasilator di sini akan memperkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya ialah Mohd Khuzaini. Kamu semua boleh panggil saya Abang Long. Sekiranya ada sebarang masalah ketika berada di kolej ini, kamu boleh berurusan terus dengan saya. Ada apa-apa soalan?” soal Abang Long memulakan bicara.
Semua pelajar hanya membisu tanpa bersuara. Masing-masing menggelengkan kepala sebagai tanda tidak mempunyai sebarang soalan untuk diajukan. Setelah itu, beberapa orang Fasilator lagi memperkenalkan diri kepada semua pelajar. Ada lebih kurang sepuluh orang Fasilator yang ditugaskan untuk memimpin pelajar-pelajar baru pada pagi itu. Aku agak tekun mendengar penerangan mereka satu per satu.
Fasilator yang bertugas itu kebanyakkannya merupakan pelajar semester lima. Semuanya sudah mempunyai pengalaman yang cukup besar dalam bidang masakan ini. Mereka ada asas kukuh untuk membimbing semua pelajar. Aku menganggap Fasilator-Fasilator itu sebagai senior kami kerana mereka sudah merasai pahit manisnya menempuh dugaan sepanjang bergelar pelajar hampir 3 tahun di sini.
Aku juga berjanji pada diri aku untuk mengikut jejak langkah mereka. Walau apa jua cabaran yang mendatang, aku akan cekalkan hati. Aku masih fokus mendengar arahan selanjutnya dari Abang Long.
“Selepas ini, kami akan agihkan beberapa helai kertas yang ada tertulis nombor pada setiap kertas. Nombor-nombor itu akan menentukan kumpulan manakah kamu berada. Setiap kumpulan sekurang-kurangnya mempunyai sepuluh orang ahli. Manakala baki selebihnya itu akan ditentukan kemudiannya.” Begitu arahan penuh yang disampaikan oleh Abang Long.
Fasilator-Fasilator itu segera mengedarkan kertas kepada para pelajar. Masing-masing dapat satu helai kertas yang mencatatkan nombor kumpulan. Sebaik menerima kertas itu, aku pantas melihat nombor yang tertera di situ. Emm..aku dapat nombor lima. Syima pula dapat nombor tiga. Agak-agak, Fuad dapat nombor berapa, ya?
Minta-mintalah, Fuad dapat nombor yang sama seperti aku. Dapat juga aku kawan nanti. Entah siapalah yang akan menjadi kumpulan aku. Kami diminta saling bekerjasama semasa berada di dalam satu kumpulan. Setiap kumpulan akan diterajui oleh seorang ketua sebagai pemimpin. Beberapa minit kemudian, kami diarahkan untuk berpecah sambil mencari kumpulan masing-masing.
Aku terpaksa berpisah dengan Syima buat sementara waktu. Aku segera mencari pelajar yang memiliki nombor lima. Dalam beberapa langkah aku berjalan, tiba-tiba aku terserempak dengan Fuad. Aku lihat, Fuad sedang sibuk mencari kumpulannya.
“Kau dapat nombor berapa, Fuad?” soalku sebaik sahaja bersua muka dengannya.
“Aku dapat nombor tiga,” jawab Fuad spontan. “Kau?” tanya Fuad pula.
“Nombor lima,” balasku lagi. Aku ingat, Fuad dapat nombor lima tetapi nombor tiga.
Nampaknya, tak dapatlah aku satu kumpulan dengan dia. Dalam hati, aku agak berdebar-debar memikirkan semua kemungkinan yang bakal terjawab sekejap lagi. Untuk memudahkan kerja aku, aku pantas mengangkat kertas tinggi-tinggi supaya senang mencari pelajar yang sama kumpulan denganku. Reaksi aku sebentar tadi agak berkesan kerana mereka dapat mengecam nombor yang tertera di atas kertasku.
Kami berkumpul apabila sudah dapat mencari ahli kumpulan masing-masing. Terdapat lapan orang yang akan menjadi kumpulan aku. Rata-rata, pelajar perempuan seramai enam orang termasuk aku. Pelajar lelaki pula ada dua orang sahaja. Aku rasa macam ada yang tidak cukup lagi. Sepatutnya, ada sepuluh orang ahli seperti yang dikatakan oleh Abang Long tadi. Mana pula perginya pelajar yang seorang lagi?
“Siapa lagi sorang ni? Abang Long cakap, ada sepuluh orang ahli dalam setiap kumpulan.” Aku pantas bertanya kepada rakan-rakanku. Mereka hanya menggelengkan kepala apabila aku mengajukan pertanyaan itu.
“Tak pastilah,” ucap salah seorang dari mereka.
Aku memandang keadaan sekeliling, cuba mencari makhluk yang dimaksudkan itu. Tiba-tiba, mata aku tertancap pada susuk tubuh seseorang yang amat aku kenali. Aku pasti dialah orangnya. Siapa lagi, kalau bukan Syed Aidil. Kertas yang masih berada dalam genggamannya aku lihat sepintas lalu. Seakan tidak percaya dengan nombor yang tertera di situ. Aku cuba memastikan apa yang aku lihat sebentar tadi bukanlah igauan semata. Takut juga kalau tersilap pandang. Alamak! Dia dapat nombor lima jugalah.
Macam mana ini? Aku tak ingin dia satu kumpulan dengan aku. Tak selesa pula apabila kami berdua berada dalam satu kumpulan yang sama. Keresahan aku itu tergambar jelas di wajahku saat ini. Ingin sahaja aku menukar kertas aku ini kepada Fuad supaya aku berada dalam kumpulan yang lain daripada dia. Namun, aku tak boleh berbuat begitu kerana Fuad dan kumpulannya sudah sibuk berbincang sesama sendiri. Mungkin, mereka sedang mencari ketua kumpulan yang layak memimpin mereka.
Mahu tidak mahu, aku terpaksa akur dengan ketentuan ini. Kenapalah dia juga yang jadi ahli kumpulan aku. Kenapa tidak orang lain? Ish, tak faham betul aku. Sepatutnya aku gembira sebab dia satu kumpulan dengan aku. Ini tidak, asyik nak salahkan diri sendiri sahaja. ‘Baguslah dia satu kumpulan dengan kau, Min. Bukankah ini yang kau inginkan sejak dulu?’ Tiba-tiba terdengar satu suara halus yang lahir dari hati aku. Suara itu seakan mengejek diri ini serta mentertawakan aku. Pergi jahanamlah! Bentakku lagi.
Aku tengok Syed Aidil masih sibuk ke hulu ke hilir mencari ahli kumpulannya. Kasihan pula melihat keadaannya itu. Bukankah aku sudah berjanji dengan Syima untuk berkenal-kenalan dengan dia. Walaupun untuk hari ini sahaja, namun aku perlu mencuba. Manalah tahu, hatinya lembut tatkala memandang wajah ini. Aku cuba memberanikan diri menegurnya. Aku tidak boleh tersasul menyebut namanya agar dia tidak menaruh syak pada aku nanti.
*****************
“Maaf, saudara,” ucapku perlahan sambil meneguk air liur. Perasaan aku ketika ini sungguh berdebar-debar. Dia masih membelakangi aku. “Nombor saudara ni lima ke?” soalku lagi. Apabila terdengar ada orang menegurnya, Syed Aidil pantas berpaling memandangku.
“Ya, benar,” balasnya lembut. Sebaik sahaja dia memandang wajahku, tiba-tiba dia terbatuk-batuk kecil lalu membesarkan matanya.
“Eh…badak air. Apa yang kau buat kat sini, hah?” soalnya sedikit keras. Walaupun nada suaranya tidak berapa kuat, namun masih dapat didengari oleh pelajar-pelajar yang lain.
Aku tidak mempedulikan pandangan orang lain ketika itu. Apa yang lebih penting, aku perlu berhadapan dengan bapa naga yang perasan hensem ini terlebih dahulu. Rasa geram kerana dia masih memanggilku dengan nama badak air, membuatkan aku bertambah sakit hati. Dia ini memang lelaki sombong yang sukar sangat nak maafkan kesalahan orang lain. Apa lagi yang tak beres sebenarnya? Hati kecilku bertanya-tanya.
“Tak payah nak ambil tahulah kenapa aku kat sini. Mulut kau tu jaga-jaga sikit, ya. Jangan suka hati saja nak panggil aku badak air. Apa lagi yang kau tak puas hati kat aku, hah?”herdik aku pula.
Aku cuba mengawal nada suara agar tidak terdengar oleh pelajar lain. Jarak aku dengannya hanya beberapa meter sahaja. Mujur, suaraku agak perlahan untuk menutup rahsia antara kami berdua. Memang dasar bapa naga betul mamat ini tau, kutukku dalam hati.
“Ish, memang badan kau macam badak air. Dahlah muka macam badut tak siap, ada hati nak tegur aku pula. Pergi mampuslah.”
Amboi, sedapnya dia mengutuk aku. Ish, geramnya aku. Ada orang yang nak makan sup terompah ni kejap lagi. Panas betul hati ini apabila Syed Aidil menyamakan aku dengan badak air. Lagi-lagi, perkara itu juga yang dia nak sebutkan. Yang paling aku geram, dia sanggup kata muka aku macam badut tak siap. Kau ingat, muka aku ni tak laku sangat ke, hah?
“Eleh, muka kau tu lagi teruk macam bapa naga tau tak. Perasan hensem,” sindirku lagi tepat ke mukanya.
Oleh kerana tidak tahan mendengar sindiranku, akhirnya dia berlalu pergi ke arah ahli kumpulan kami yang lain. Aku malas nak ambil pusing lagi. Kalau ikutkan sangat rasa marah aku ini, tak pasal-pasal kecoh satu kolej ini nanti. Namun, apabila teringatkan semula kata-kata ibu pagi tadi, hati aku kembali sejuk seperti sediakala.
Tidak ada gunanya aku melayan manusia cetek akal macam Syed Aidil itu. Buang masa dan tenaga sahaja. Rancangan Syima awal pagi tadi seolah-olah memaksa aku untuk cepat-cepat melaksanakan misi jahat aku kepadanya. Buat apa aku nak berbaik-baik dengan dia.
Aku perlu berbuat sesuatu untuk memulihkan keadaan. Biar dia tahu diri nanti. ‘Tak mengapa, Yasmin. Nombor lelaki sombong itu, kan sudah ada kat dalam simpanan kau. Kalau boleh, malam ini kau terus jalankan misi rahsia kau tu. Jangan lambat-lambat, nanti menyesal.’
Suara halus dari hati kecilku bergema lagi di sanubari. Malam ini, aku akan memulakan misi aku itu. Semakin lama aku berdiam diri, semakin mudah Syed Aidil nak pijak kepala aku. Sebelum keadaan menjadi lebih parah, lebih baik aku bertindak cepat. Lelaki sombong itu perlu diberi pengajaran supaya tidak merendah-rendahkan martabat orang lain seperti aku. Kau tunggu sajalah, Syed Aidil. Aku akan hadir dalam hidup kau tidak lama lagi.
*******************
MALAM ini terasa damai, tidak seperti malam-malam yang lain. Bulan memancar terang di dada langit bersama ribuan bintang-bintang. Aku leka memerhatikan suasana pada malam itu. Selepas solat Fardu Isyak sebentar tadi, aku terus duduk di halaman rumah sambil berkhayal seorang diri. Sengaja aku ke tempat itu, untuk merehatkan minda dari sebarang masalah yang kian membelengguku sejak akhir-akhir ini.
Apabila mengingati semula pertemuanku dengan Syed Aidil siang tadi, perasaan aku tiba-tiba menjadi gelisah tidak menentu. Tidak menyangka, lelaki itu tega menghina diri ini di hadapan kawan-kawan yang lain. Mujurlah, suaranya tidak terlalu kuat. Aku agak khuatir, sekiranya mereka mengesyaki apa-apa tentang kami berdua. Pada mulanya, aku gembira kerana dipertemukan dalam satu kumpulan yang sama dengan Syed Aidil.
Namun begitu, apabila melihat penerimaan Syed Aidil agak hambar padaku, rasa bahagia itu terus bertukar kepada benci. Aku memang panas hati dengan sikap sombongnya itu. Selama ini, sudah puas aku bersabar malah sanggup memberikan ruang kemaafan kepada lelaki itu, tetapi tidak sedikit pun dihargainya. Dia tetap menganggap aku sebagai musuh ketatnya. Entah di mana agaknya salah aku, sehingga dia benar-benar benci pada diri ini.
Mulai malam ini, aku harus memasang tekad untuk mengenakan Syed Aidil. Aku tidak boleh menunggu terlalu lama untuk bertindak. Benar juga kata Syima siang tadi. Lelaki sombong itu perlu diajar cukup-cukup, biar dia tahu diri sedikit.
Telefon bimbit yang masih berada dalam genggaman tangan, aku pandang sekali lagi. Perlukah aku menghubungi Syed Aidil saat ini juga? Bagaimanakah penerimaannya kepada aku nanti? Aku hendak menyamar sebagai siapa pula? Ah, serabut betul fikiran aku sekarang.
Setelah berfikir agak lama, akhirnya aku membuat keputusan untuk menghubungi lelaki sombong itu. Biar apa jua cabaran yang mendatang selepas ini, aku tetap dengan keputusan aku. Lagipun, bukannya dia kenal siapa aku. Selagi aku tak beritahu perkara yang sebenar, selagi itu dia tidak akan tahu.
Niat aku memang ikhlas untuk mengenalinya. Aku buat ini semua demi kebaikan dia juga. Perangai manusia ini boleh berubah-ubah kalau kena dengan gayanya. Moga-moga, Syed Aidil akan lembut hati apabila berkenalan dengan aku nanti. Biarlah rahsia ini, hanya aku dan Syima sahaja yang tahu.
Tanpa membuang banyak masa, aku pantas mencari nombor telefonnya. Punat panggilan aku tekan perlahan-lahan dengan debaran kuat di dada. Aku masih sabar menanti sehingga talian disambungkan. Beberapa saat kemudian, aku terdengar satu suara garau yang menjawab panggilan itu. Dadaku semakin berdebar kencang.
“Hello, siapa ni?” soalnya sedikit kasar.
Aku mulai cemas apabila mendengar suara garaunya. Aku agak yakin, suara itu kepunyaan Syed Aidil. Tidak mungkin aku tersilap dengar. Suara macho itu masih terakam kukuh di ingatan sehingga ke saat ini.
Ah, apa yang aku hendak cakap, ya? ‘Cuba bawa bertenang, Yasmin. Jangan gelabah sangat.’ Hati kecilku berkata-kata, untuk mengusir keresahan yang kian bertandang di fikiran.
“Err…boleh saya bercakap dengan Razak,” ucapku dengan suara yang terketar-ketar. Aku cuba berlakon sehabis baik untuk mengaburi pendengarannya. Hanya cara ini sahaja, aku dapat memancing minatnya. Manalah tahu, jerat aku mengena nanti.
“Eh, you ni dah salah nomborlah. Ini bukan nombor Razak, tapi nombor I. You ni siapa, ya?” ajunya lagi. Nada suaranya kedengaran lembut sedikit berbanding tadi.
Nampak gaya, rancangan aku malam ini akan berhasil seperti yang diimpikan. Aku tersenyum sendiri apabila mendengar suara cemasnya. Barangkali, dia teruja untuk mengetahui siapakah diri aku yang sebenarnya. Sabar ya, Syed Aidil. Aku akan hadir dalam hidupmu sebentar sahaja lagi.
“Nama I, Cempaka Sari. Sebenarnya, I nak call Razak tapi macam mana you pula yang angkat. I rasa, nombor yang dia berikan pada I sudah betul. I sendiri tidak pasti. Mungkin, I yang tersalah dail. Maaflah kerana menganggu you. Bye!” Aku sengaja berkata begitu untuk melihat sejauh mana reaksinya dengan kata-kataku.
Belum sempat aku memutuskan talian, Syed Aidil sudah membuka mulut.
“Cempaka, nanti dulu. I belum habis lagi cakap dengan you. You tinggal kat mana, ni?” ajunya bersungguh-sungguh. Aku tertawa kecil di hujung talian kerana jerat aku baru sahaja mengena. Yes! Aku dah menang.
“I stay kat Johor Bahru. You?”
“Samalah. I pun duduk kat JB. Bolehlah kita jumpa nanti. Teringin juga I mengenali you dengan lebih dekat lagi. Mesti you ni, cantikkan orangnya,” pujinya lagi.
Emm…memang dasar buaya tembaga betul mamat seorang ini. Sengajalah tu hendak ambil hati aku. Dia ingat, aku boleh termakan pujuk rayu dia. Jangan haraplah Syed Aidil. Kali ini, aku hendak ajar dia cukup-cukup. Biar dia tahu rasa. Aku akan buat sampai dia gila bayang pada aku. Hahahaaa…Tanduk aku sudah mula naik di atas kepala.
“I pun teringin juga bertemu dengan you. Tapi, kita kan baru saja kenal. I takut, ada orang marah kalau I kenal dengan you,” tambahku, cuba menarik minatnya lagi.
“Siapa pula yang nak marah? I masih solo tau, belum terfikir pun untuk bercinta dalam usia yang masih muda macam ni. I lebih suka berkawan dulu. Tak sangka, kita boleh kenal malam ini, ya. Kalau you tak tersalah dail nombor I tadi, mungkin kita tak kenal, kan.”
Terasa meluat pula telingaku mendengar pengakuan ikhlas Syed Aidil itu. Orang lelaki, semuanya sama sahaja. Sudah ada kekasih hati, masih lagi hendak menipu. Kononnya masih solo saat ini. Habis itu, perempuan gedik yang sering menemaninya saban hari itu, siapa pula? Takkan sekadar kawan biasa sahaja. Tingkah mereka berdua pun kelihatan mesra sahaja macam pasangan kekasih. Ini tidak boleh jadi. Aku kena siasat sampai ke akar umbi.
“Baguslah kalau you masih single. I pun sama juga. I harap, perkenalan kita ini akan berlanjutan sampai bila-bila. Esok pagi, you tak pergi kolej ke? Hari esok kan dah mula sesi pembelajaran,” ucapku, tanpa berfikir dua kali. Entah macam mana, aku boleh tersasul kerana
terlampau gembira dapat berkenalan dengan Syed Aidil.
“Kolej? Eh, macam mana you tahu I belajar kat kolej ni? You pun study kat kolej masakan juga ke?”
Alamak! Aku dah tersalah cakap. Ish, kenapalah mulut aku ni boleh tersasul pula. Tentu dia hairan apabila aku mengetahui dirinya belajar di kolej. Ya Allah, apa yang aku sudah buat? Matilah aku kali ini.
“Opss..sori. I tersalah cakap tadi. I agak-agak aje, manalah tahu kalau you belajar di kolej. I pun belajar kat kolej. I ambil bidang perubatan. You?” Aku memberikan alasan paling logik kepada Syed Aidil. Akalku cepat sahaja mencari helah supaya kesilapan aku sebentar tadi tidak disalahertikan.
“Oh, I ingat, you pun belajar satu kolej dengan I. I ambil bidang masakan. Baru sahaja mendaftar kira-kira seminggu yang lepas. Seronok juga dapat belajar kat situ. Ramai kawan I jumpa. Cuma, yang tak best tu, I jumpa musuh ketat I. Tak sangka pula, badak air macam dia tu belajar satu kolej dengan I.”
Penjelasan Syed Aidil itu membuatkan aku tertanya-tanya sendiri Aku cuba memahami ucapannya sebentar tadi. Siapakah gerangan badak air yang dia ingin maksudkan? Sudah tentulah badak air yang dia maksudkan itu adalah aku. Siapa lagi yang memiliki gelaran sebegitu kalau bukan aku. Darahku terasa mendidih saat ini. Aku baru sahaja hendak menenangkan hati. Boleh pula dia menambahkan beban di fikiran yang sudah berserabut sejak semalam lagi.
“Siapa badak air yang you maksudkan tu?” tanyaku cuba mengorek rahsia. Padahal, aku sudah mengetahui jawapannya itu.
“Entahlah. I sendiri pun tak tahu namanya. Kalau boleh, I tak ingin tahu nama dia. Tengok muka dia pun dah rasa meluat sangat. I gelilah nak dekat dengan dia. You tahu tak, dia tu suka sangat perasan bagus. Kalau cantik tu, tak apalah. Nak juga I berkenalan dengan dia. Ini tak, badan dahlah besar macam tong deram, pastu muka buruk. Loya tekak I ni apabila teringatkan dia. Nasib baik you ada. Tenang sikit hati ini.”
Terasa berbahang dunia ini aku rasakan. Geram betul dengan sikap sombongnya kepada aku. Kalaulah dia tahu aku ni gadis yang dia benci, mesti dia akan jauhkan diri. Paling tidak pun, dia pasti akan mengutuk aku habis-habisan. Aku hanya mendengar sahaja ucapannya itu tanpa mengulas apa-apa. Mood aku tiba-tiba sahaja mati dalam sekelip mata.
“Ala, you tak payah pening kepala fikirkan dia. Kalau you sendiri tak suka, buat apa nak susahkan diri you. I kan ada kat sini. You tak perlu risau okey.”
Aku cuba menenangkan Syed Aidil. Biarlah lelaki sombong itu melupakan dulu perihal gadis bernama Yasmin. Sekarang ini, tugas aku adalah untuk memancing minatnya supaya jatuh hati kepada Cempaka Sari. Klasik betul, ya nama samaran aku ini. Heheee…
“Betul juga kata you. I tak akan ingat lagi pasal budak gemuk tu. Biarlah dia dengan kehidupan dia sendiri. I malas nak masuk campur. Buat masa sekarang, I nak fokuskan pada perhubungan kita dulu. I suka berkawan dengan you walaupun ini kali pertama kita berkenalan. I harap, perhubungan kita ini akan berkekalan sampai bila-bila.”
“I harap pun begitu juga. Ada masa nanti, I call you lagi okey. Hari pun dah lewat malam ni. Esok pagi, I nak pergi kuliah. Good Night. Bye!”
“Okey. Thanks sebab call I. Take care, sayang. Bye!” ucap Syed Aidil sebelum mematikan talian. Lontaran suaranya yang lembut itu membuatkan aku terpana seketika. Alangkah indahnya dunia ini apabila Syed Aidil memanggil diri aku sayang. Terlupa sebentar rasa marah aku kepada dirinya. Tetapi, benarkah dia ikhlas berkawan dengan aku? Ah, apa yang aku merepek ni. Aku tidak boleh tewas dengan permainan cintanya. Tujuan sebenar aku mengenalinya adalah untuk mengenakan dirinya cukup-cukup.
**************
Setahun kemudian…
Cepat benar masa berlalu. Sedar tidak sedar, sudah hampir setahun aku belajar di YPJ. Tahun ini aku berada di semester ketiga. Banyak juga kenangan manis sepanjang menuntut di kolej masakan ini. Pada semester yang lepas, aku terpaksa menjalani praktikal di sebuah hotel di Seremban. Hampir enam bulan aku berada di sana. Kini, aku kembali semula ke Johor Bahru untuk meneruskan pengajian di semester yang baru.
Tidak sabar rasanya untuk bertemu Syima. Entah bagaimanalah rupa dia sekarang. Tentu makin cantik, kan. Syima menjalani praktikal di Pulang Pinang bersama Fuad. Alangkah beruntungnya merpati dua sejoli itu. Dalam diam-diam, mereka menjalin hubungan cinta sepanjang berada di sana. Berita itu dikhabarkan oleh Syima kira-kira dua bulan yang lalu. Aku hanya menumpang gembira atas perhubungan mereka berdua. Moga-moga, berkekalan sampai ke jinjang pelamin.
Aku sahaja yang masih solo macam dulu. Siapalah yang sudi berkongsi kasih dengan gadis gemuk macam aku ini. Tetapi, itu kisah dulu. Jangan nak disamakan dengan sekarang. Saat ini semuanya sudah berubah. Aku sendiri seakan tidak percaya melihat bentuk tubuhku sejak menjejakkan kaki di tempat orang ini. Mungkin kerana terpaksa mengikat perut saban
hari, membuatkan tubuh aku menjadi langsing seperti sekarang.
“Biar betul ni, aku tak salah orang ke?” Syima seakan tidak percaya apabila melihat keadaan fizikal aku ketika kami bertemu kira-kira seminggu yang lalu.
Aku hanya tersenyum memandangnya. Wajarlah Syima tidak kenal aku sebab berat badan aku sekarang sudah 50 kilogram. Terlalu berbeza jika nak dibandingkan dengan tubuh aku yang dulu. Kalau dulu, aku terlalu gemuk sehingga mencecah 90 kilogram.
“Ish kau ni. Sampai aku pun kau dah tak kenal. Ini akulah, Yasmin.” Syima seakan terpaku melihat tubuh aku. Lama dia begitu sehinggalah dia kembali ke alam realiti.
“Wah, Min. Langsingnya badan kau. Aku ingat model mana tadi. Cantik sangat.” Tidak puas-puas Syima memuji aku. Dia terkebil-kebil memandang wajah aku seakan tidak percaya. Banyak perkara yang kami bualkan, meleret-leret sampai ke hal peribadi masing-masing.
“Ala, Syima. Apa yang kau nak hairankan. Aku jadi macam ni pun sebab seseorang. Lagipun, kat sana aku banyak ikat perut. Kau tahu ajelah macam mana kehidupan di sana. Kalau tak pandai jimat-cermat, alamatnya matilah aku.”
Memang benar, duit adalah segala-galanya bagiku ketika berada di Seremban dulu. Setiap sen yang aku belanjakan, aku hitung sebaik-baiknya. Biarpun terpaksa ikat perut, aku sanggup.
“Aku tabik springlah tengok kau macam ni. Tak sangka sangat. Tentu ‘dia’ gembira, kan. Makan hatilah dia tengok kau nanti.” Aku faham maksud Syima itu. Sudah pasti ‘dia’ yang dimaksudkannya tadi merujuk kepada Syed Aidil.
“Sudahlah, Syima. Aku malas nak ingat pasal dia lagi. Bagi aku, Syed Aidil tak pernah wujud dalam hidup aku. Buang masa saja aku layan mamat berlagak hensem tu.”
“Eh, kenapa dengan kau ni. Tiba-tiba aje nak emosional. Bukannya Syed Aidil ke lelaki yang kau puja-puja dulu. Sekarang ni dah berubah hati ke?” Syima masih lagi tidak faham-faham. Sengaja dia ingin menekan aku dalam rahsia perhubungan kami berdua.
“Entahlah, Syima. Hati aku ni dah lama mati sejak dia berani hina aku depan kawan-kawan kita dulu. Aku ni macam tak ada maruah dia buat. Aku tak akan maafkan dia, Syima. Kalau dia berlutut kat depan kaki aku sekalipun, jangan harap aku nak terima cinta dia.”
Aku sudah bertekad. Walau apa jua yang berlaku selepas ini, aku tak akan tunduk kepada Syed Aidil. Sesungguhnya cinta pertama aku hanya untuk sekali sahaja. Kalau orang yang aku cintai sanggup merendahkan maruah diri aku, biarlah aku buang cinta itu jauh-jauh dari hidup aku. Apalah gunanya mencintai, jika kita saja yang beria-ia. Sedangkan dia, sebelah mata pun tak nak pandang. Mentang-mentanglah aku ini gemuk macam badak air.
***********
ESOK pagi aku bersiap-siap untuk menghadiri kuliah bagi semester ketiga. Berdebar juga rasa hati menjejakkan kaki ke bumi bertuah itu sekali lagi. Hampir enam bulan aku meninggalkan ruang ilmu itu. Kali ini, aku kembali dengan imej baru. Aku pasti, mereka tidak akan mengenali wajah aku sekarang. Terlalu berbeza dan ketara jika hendak dibandingkan dengan Yasmin yang dulu. Seawal jam 8 pagi, aku sudah terpacak rapi di kolej masakan itu. Mujurlah Syima sudah datang. Aku segera menghampirinya.
“Awal kau sampai pagi ni? ” Soal Syima sebaik melihat kehadiran aku di sisinya.
“Eh, mestilah awal. Pagi ni kan hari pertama di semester baru. Lagipun aku dah tak sabar nak study macam dulu. Mesti seronok, kan.”
“Hai, lain macam saja bunyi. Entah-entah, teruja nak tengok buah hati tak?” Syima tersengih-sengih memandang wajahku.
“Buah hati siapa? Kau ni kalau bercakap biarlah berlapik sikit. Nanti ada orang dengar masaklah aku jawabnya. Oh ya, aku hampir terlupa tadi. Sepatutnya kita berdua tak boleh rapat macam ni. Tak pasal-pasal nanti rahsia aku pecah.”
Aku menepuk dahi beberapa kali. Baru aku teringat tujuan sebenar aku pagi ini. Aku mempunyai rancangan tersendiri untuk mengaburi mata rakan-rakan sekuliah. Aku tidak mahu mereka tahu siapa aku sebenarnya. Hanya Syima seorang sahaja yang mengetahui identiti diri aku. Fuad pun tidak tahu akan hal ini. Rahsia ini aku harus simpan baik-baik. Sampai masanya nanti, mereka akan tahu juga siapa aku.
“Okeylah, Min. Nasib baik kau ingatkan aku. Kalau tak, penat-penat aje usaha kau selama ini, kan. Lebih baik kita berpecah sekarang. Nanti dah ramai orang susah pula. Aku pergi dulu tau.”
Syima meminta izin sebelum pergi meninggalkanku. Aku tersenyum melihat gaya dia berjalan. Kelakar sangat. Mujurlah Syima sudi bekerjasama dengan aku. Hanya dia sahabat yang memahami perasaan aku selama ini. Terima kasih Syima.
****************
Aku sedang tekun mendengar kuliah dari Encik Khairuddin. Walau ada banyak mata yang memandang, aku buat-buat tidak tahu sahaja. Kenapalah mereka asyik perhatikan wajah ini. Kalau dulu, tidak ada siapa pun yang sudi pandang. Mentang-mentanglah badan aku dah ramping macam model. Berlainan benar penerimaan mereka terhadap aku kali ini. Hampir seminggu memulakan semester baru di sini, ramai juga yang ingin berkenalan dan bertukar-tukar nombor telefon.
“Saya tak pernah nampak pun awak kat kolej ni. Dulu, kelas yang mana satu?” tanya Iqbal, pelajar lelaki yang selalu menjadi rebutan gadis di kolej ini. Aku malas melayan kerenahnya itu. Masakan dia lupa pada Yasmin, budak gemuk yang sering diejeknya dulu.
“Entahlah, saudara. Saya pun dah lupa kelas saya yang mana satu. Yang saya tahu, kehadiran saya di kolej ini dulu tak ada siapa pun sudi pandang. Pelikkan sikap manusia ni. Cepat sangat boleh berubah,” sindirku tepat ke mukanya.
Iqbal seakan pelik mendengar sindiranku itu. Dia terus berlalu pergi apabila melihat penerimaan aku agak hambar padanya. Sesuai sangat dengan muka kau, Iqbal. Dasar mata keranjang. Pantang nampak perempuan dahi licin sikit, cepat saja nak masuk jarum.
Aku memang sengaja jual mahal. Kalau boleh, biar mereka makan hati berulam jantung nanti. Bukan niat aku untuk membalas dendam atas perbuatan mereka dulu, tetapi aku ingin mereka sedar bahawa jangan sesekali memandang rendah dengan orang gemuk macam aku ini.
Itulah lumrah manusia zaman sekarang. Apabila sudah cantik di mata, baru terhegeh-hegeh nak dekat. Aku cepat sedar diri. Walaupun aku sudah kurus dan cantik, aku tidak pernah lupa asal usulku suatu waktu dahulu. Di mana aku berpijak, di situlah langit dijunjung.
*****************
Kuliah pagi itu berakhir jam 11 pagi. Mujurlah petang ini tidak ada kuliah. Dapat juga aku shopping sekejap di Kipmart. Ada barang yang aku nak beli. Aku buru-buru ke perhentian bas kerana takut terlewat nanti. Biasalah waktu-waktu begini, ramai sangat orang di situ. Sedang leka menunggu bas, tiba-tiba sebuah kereta Honda Jazz berhenti di hadapan aku. Aku kaget seketika apabila mendapati kereta mewah itu milik Syed Aidil, musuh ketatku. Kelihatan dia sedang tersenyum ke arahku.
“Nak balik ke, saudari? Boleh saya tumpangkan.” Sopan sahaja tutur kata Syed Aidil kepadaku. Biasanya, jangan harap dia nak berlembut begitu.
Aku hanya mengangguk. Tiba-tiba sahaja lidah aku menjadi kelu. Ish, kenapa dengan aku ini. Nampak sahaja muka Syed Aidil, aku menjadi tidak keruan seperti ini. Aku memarahi diri aku kerana tewas dengan godaannya. Apa yang aku nak cakap ni?
“Eh, tak apalah, saudara. Saya ada hal sikit kejap lagi. Nak pergi Kipmart beli barang. Terima kasih sahaja.” Akhirnya aku dapat juga menyatakan alasan paling bernas kepadanya. Moga-moga dia segera berlalu dari sini.
“Em, baguslah kalau macam tu. Saya pun memang nak pergi Kipmart ni. Saya nak belikan mama saya baju sempena hari lahir dia hujung minggu ni. Boleh juga awak tolong saya carikan baju yang sesuai untuk dia.” Penjelasan Syed Aidil itu agak mengejutkanku. Aku
mati akal untuk menolak hasratnya.
Macam-macam sahaja alasannya untuk keluar dengan aku. Bukan aku tak tahu taktik buaya darat dia tu. Pandai benar nak pikat hati perempuan. Aku ingatkan perangai dia dah berubah. Rupa-rupanya bertambah gatal.
Aku cuba mencari dalih supaya dia cepat berlalu dari situ. Lelaki miang macam Syed Aidil ini perlu diajar cukup-cukup. Aku bertekad untuk mengenakannya hari ini. Biar dia serik dan malu sendiri.
“Boleh juga. Tapi, saya belum makan lagi ni. Lapar sangat. Awak boleh belanja saya tak?” soalku manja sebelum menghampiri keretanya.
“Mestilah boleh, sayang. Awak cakap saja nak beli apa. Saya pasti akan tunaikan permintaan awak. Cepatlah masuk!”
Syed Aidil begitu teruja kerana aku sudi menerima pelawaannya. Dia cepat-cepat keluar dari kereta lalu membukakan pintu untuk aku. Pandai sungguh dia mengambil hati aku, ya. Sikit lagi kau tengoklah macam mana aku buat dekat kau. Tunggu, Syed Aidil.
**************
“Nama awak siapa, ya? Dah lama sebenarnya saya nak tahu. Mujurlah kita jumpa hari ini.” Syed Aidil pantas bertanya sejurus kami tiba di Kipmart.
“Nama saya Cempaka,” jawabku perlahan, antara dengar dengan tidak.
“Oh, Cempaka. Sedap nama awak. Macam nama kawan sayalah.” Syed Aidil seperti mengingati sesuatu. Barangkali sebelum ini dia pernah mengenali seseorang yang mempunyai nama serupa seperti itu.
“Cempaka Sari ke?” Aku bertanya lagi. Sengaja ingin menduga ingatannya. Sudah pasti dia ingat nama samaran aku itu.
“Eh, betullah. Macam mana awak boleh tahu? Saya pernah berkawan dengan Cempaka Sari dulu. Tapi sayang sangat sebab…”
“Sebab dia tak cantik ke?” Aku segera memotong bicara Syed Aidil. Riak wajahnya berubah secara tiba-tiba.
Syed Aidil hanya mengangguk. “Orangnya tak secantik namanya. Kalau orangnya macam awak ni, tentu dah lama saya tackle.”
Em, sudah mulalah miang dia datang. Hendak berkawan dengan orang cantik sahaja. Yang hodoh, gemuk, muka banyak jerawat macam aku waktu dulu tak nak pula. Untuk pengetahuan kau, Syed Aidil, perempuan yang kau kutuk tu sebenarnya aku tahu tak. Ish, geram betul dengan mamat sewel ni.
“Dahlah cepat. Saya nak beli barang ni. Tak boleh lama-lama sangat. Nanti risau pula boyfriend saya.” Aku terus berlalu pergi meninggalkan Syed Aidil seorang diri di situ. Dia pantas mengekori aku dari belakang.
“Awak, tunggulah saya dulu!” Teriaknya dari belakang.
Aku cepat-cepat melangkah masuk ke ruang dalam tanpa mengendahkan panggilannya. Sengaja aku biarkan dia mentafsir sendiri maksud aku sebentar tadi. Memang aku belum berpunya saat ini, tapi itu bukan bermakna ada ruang untuknya mencurah kasih. Cinta aku padanya sudah lama padam saat dia menghamburkan kata-kata kesat pada diri ini. Maruah diri aku seperti diinjak-injak sesuka hati. Tanpa rasa bersalah, dia sanggup merendahkan maruah diri aku di hadapan kawan-kawan sekuliah.
Peristiwa silam itu kembali terlayar di fikiran. Aku masih ingat lagi bagaimana marahnya dia waktu itu apabila mengetahui aku yang selama ini menyamar sebagai Cempaka Sari. Kalau tidak kerana kecuaian aku, sudah pasti sampai sekarang dia tidak tahu siapa aku. Pada hari itu, entah bagaimana aku boleh terlupa untuk silent telefon bimbitku. Sebelum kuliah bermula, tiba-tiba handphoneku berbunyi. Aku pantas menjawab tanpa melihat nombor yang tertera di atas skrin.
“Assalammualaikum, siapa ni?” soalku perlahan.
“Waalaikummussalam. Ini sayalah, Syed Aidil. Awak kat kolej ke sekarang?” Seakan gugur jantungku sebaik mendengar suara Syed Aidil yang menjawab salamku.
“Ada apa awak call saya pagi-pagi macam ni. Saya ada kuliah ni kejap lagi. Lain kalilah awak call. Maaf sangat-sangat.”
Aku terus memutuskan talian kerana bimbang Syed Aidil mengesyaki rahsia aku. Buatnya dia sampai sekarang ini, mampus aku. Tak pasal-pasal, rahsia aku pecah. Mana aku nak letak muka ini.
Tidak berapa lama selepas itu, tiba aku terdengar ada satu tepukan kuat dari belakang. Aku pantas menoleh ke arah datangnya suara itu. Ya Allah, Syed Aidil.
“Bagus, Yasmin. Pandai ya kau menyamar sekarang. Kau ingat aku tak tahu siapa Cempaka Sari.”
“Kenapa ni, Aidil? Siapa yang menyamar?” Aku berpura-pura tidak tahu. Adakah dia sudah tahu penyamaran aku selama ini? Tidak mungkin dia tahu siapa Cempaka Sari.
“Oh, sudah gaharu cendana pula. Dah tahu, pandai pula kau nak tanya, ya,” tempik Syed Aidil kuat. Aku tersentak mendengar suaranya. Rakan-rakan yang lain turut terperanjat. Masing-masing sibuk memasang telinga.
“Aku nak ingatkan kau sikit, Min. Kau jangan mimpilah nak rebut cinta aku. Kau ingat aku boleh tergoda ke dengan perempuan gemuk macam kau ni, hah. Cubalah kau tengok cermin baik-baik, antara kau dengan aku bagai langit dan bumi. Jauh sangat berbeza tahu, tak. Aku tak sangkakan, kau sanggup menyamar sebagai orang lain semata-mata nak berkenalan dengan aku. Dasar perempuan tak ada maruah diri. Kalau aku tak call kau tadi, agaknya sampai matipun aku kena tipu dengan perempuan bangsat macam kau.”
Marah benar Syed Aidil kepadaku saat itu. Dia seperti orang hilang akal sebaik mengetahui cerita sebenar tentang Cempaka Sari. Kesabarannya benar-benar teruji. Aku hanya menadah telinga mendengar caciannya. Akhirnya, aku pulang ke rumah kerana tidak sanggup berhadapan dengan rakan-rakan sekuliah. Aku malu. Maruah aku diinjak-injak oleh lelaki yang aku sayangi. Sejak peristiwa itu, Syed Aidil terus membuang aku dari hidupnya.
*****************
“Siapa boyfriend, awak tu? Cakaplah dengan saya. Mesti budak kolej kita juga, kan.” Suara Syed Aidil mengusir jauh khayalanku. Aku terleka sebentar apabila mengingati memori silam yang masih berbekas di hati. Walaupun lukanya sudah lama sembuh, namun parutnya tetap kelihatan hingga kini.
“Itu hal peribadi saya, Aidil. Saya rasa, awak tak perlu tahu. Saya harap awak hormati pendirian saya. Antara kita bagai langit dengan bumi. Awak enggang, sedangkan saya pipit. Mana boleh terbang sama-sama.”
“Apa maksud awak ni? Saya tak faham.” Syed Aidil mengerutkan kening tanda tidak mengerti maksud ucapanku tadi.
“Saya rasa, awak dah tahu segalanya pasal saya. Tapi, awak buat-buat tak tahu. Mustahil awak tak kenal siapa diri saya. Biarpun sudah hampir setahun peristiwa tu berlalu, saya tak akan pernah lupa, Aidil. Fizikal saya saja yang berubah, tetapi hati ini masih sama macam dulu.”
Aku meluahkan apa yang terbuku di kalbu selama ini. Syed Aidil wajar tahu cerita yang sebenar. Aku tidak kuat untuk menanggungnya seorang diri.
“Awak kena beritahu saya. Awak ni siapa sebenarnya?” Syed Aidil mendesakku. Mindanya seakan buntu membaca apa yang tersirat di hatiku. Dia benar-benar dicengkam rasa bersalah.
“Awak masih ingat Yasmin?” Pertanyaan aku itu nampaknya mengundang rasa hairan padanya. Dia menganggukkan kepala tanda mengenali insan yang aku sebutkan itu.
“Siapa dia? Kawan awak ke?” Syed Aidil telah menyimpulkan hubungan aku dan Yasmin sebagai kawan baik. Susah benar dia mengecam wajah yang berada di hadapannya sekarang. Wajah inilah yang sentiasa hadir dalam hidup kau suatu masa dahulu. Sudah lupakah kau?
“Untuk pengetahuan awak, Yasmin dan saya adalah orang yang sama.” Secara sedar aku melafazkan perkataan keramat itu dengan debaran yang tidak berpenghujung. Aku ingin dia tahu, akulah Yasmin. Perempuan yang selalu dihina dan dikutuk kerana berpenampilan buruk. Aku mahu dia buka mata luas-luas saat ini. Akulah gadis itu.
“Apa?” Terlopong mulut Syed Aidil seketika. Dia meraup muka beberapa kali, seolah-olah tidak percaya.
“Terpulanglah, Aidil. Saya dah beritahu perkara sebenar. Saya memang Yasmin, gadis yang awak sering hina suatu waktu dahulu. Saya nak awak tahu, cinta saya pada awak dulu benar-benar jujur. Saya menyayangi awak kerana cinta, bukan kemewahan harta benda. Tetapi saya tak sangka, awak sanggup mencemarkan cinta suci saya hanya kerana saya gemuk dan banyak jerawat. Sekarang ni, saya bukan lagi Yasmin yang dulu. Dan awak, bukan lagi insan yang bertakhta di hati ini. Selamat tinggal!”
Aku meninggalkan Syed Aidil terpinga-pinga sendiri. Dia masih dibelenggu dengan rasa terkejut atas apa yang aku luahkan itu. Biarlah dia mentafsir sendiri bagaimana kuatnya cinta aku padanya suatu ketika dahulu. Aku benar-benar lega kerana dapat menyindirnya secara halus. Walaupun hati ini bengkak dengan perangainya dulu, tetapi aku tidak sampai hati untuk menghukumnya secara kejam. Sebagai seorang lelaki, aku rasa dia faham perasaan aku.
********************
“Min, maafkan saya atas perbuatan saya kat awak dulu. Saya benar-benar menyesal. Please forgive me, sayang. Saya janji saya tak akan buat lagi selepas ini. Saya merayu sangat kat awak.” Bersungguh-sungguh Syed Aidil memohon kemaafan kepadaku beberapa hari selepas kejadian di Kipmart itu.
“Tak perlulah awak nak merayu-rayu macam ni, Aidil. Semuanya dah terlambat. Kalau dulu awak sedar silap awak, tentu saya boleh pertimbangkan lagi. Saya dah beri banyak ruang untuk awak sedar atas apa yang awak dah buat kat saya. Awak ingat saya boleh lupakan perkara dulu macam itu saja. Awak silap, Aidil.”
“Saya janji, sayang. Saya akan tebus kesilapan masa lalu saya. Selagi saya tak dapat kemaafan dari awak, selagi itu hati saya tak tenang. Jangan buat saya tertekan macam ni.”
Biar beribu alasan yang kau beri, aku tak akan kalah kali ini. Anggap saja kita tak pernah kenal sebelum ini. Aku sudah tekad dengan keputusanku. Bagaimana sakitnya hati aku saat kau hina aku dulu, macam itu juga aku henak Syed Aidil rasa sekarang.
“Itu masalah awak, Aidil. Tak ada kena mengena pun dengan saya. Saya harap lepas ni awak tak ganggu saya lagi. Niat saya ke sini bukan untuk bercinta dan bersuka-suka. Saya ada matlamat hidup saya sendiri untuk masa hadapan. Awak layanlah kekasih awak tu puas-puas. Jangan ingat saya tak tahu siapa Sharifah Hanim di mata awak. Biarpun kita terpisah jauh selama 6 bulan di tempat orang, saya tetap ambil tahu perkembangan awak sampai ke saat ini.”
Penjelasan aku itu nampaknya berbekas di hati Syed Aidil. Dia seakan malu dengan dirinya sendiri. Biarlah hubungan kami berakhir setakat ini sahaja. Lagipun dulu, antara aku dan dia bukannya ada apa-apa ikatan.
Apabila keadaan sudah menjerut diri, barulah dia sedar akan kesilapan masa lalu. Aku tidak pernah menyesal dengan keputusan ini. Hati aku sudah tawar untuk menerima cintanya. Sayang, cintanya hadir saat aku terluka. Dan luka itu masih berdarah sampai sekarang. Aku masih lagi menanti cinta dari insan yang benar-benar ikhlas menyayangi diri ini. Aku yakin, masanya akan tiba juga nanti.
Sesungguhnya cinta pertama itu hadir hanya sekali dalam hidupku. Tidak mungkin ia akan terulang buat kali yang kedua. Cukuplah aku seorang sahaja yang menanggung kepedihan ini. Apa yang penting, hati aku sudah puas setelah menjelaskan perkara sebenar kepada Syed Aidil. Mungkin antara kita berdua memang tiada jodoh, Aidil. Maafkan aku kerana cintamu hadir saat jiwaku terluka…

Post a Comment for "Cintamu Hadir Disaat Aku Terluka"